PENDAHULUAN
Pengurusan bermaksud proses
sosial yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur tangan dan
penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang lebih berkesan terhadap sesuatu
objektif yang ditetapkan. Manakala, murid pula bermaksud seseorang yang
menuntut ilmu, orang atau anak yang sedang belajar atau berguru di sesebuah
sekolah. Jaafar Muhammad (1998) mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses
mengagihkaninput-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian,
pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmtan)
yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.
ISI PENTING
Terdapat tiga komponen dalam
pengurusan murid iaitu pengurusan rekod murid, kesediaan murid belajar dan
memotivasikan murid.
1. Pengurusan Rekod Murid
Tujuan mengurus rekod murid
adalah untuk memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah. Profil murid juga
dikemaskinikan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa kehidupan murid
tersebut, contohnya seorang murid yang bertukar rumah dan pihak sekolah tidak
mengetahuinya, ini akan menyulitkan pengurusan pihak sekolah jika ingin
menghantar surat atau mengunjungi ke rumah pelajar tersebut atas urusan
kebajikan. Rekod murid juga bertujuan untuk mengetahui perkembangan akademik,
emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar selain bagi menyediakan maklumat
lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi
Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI). Paling utama ialah rekod murid
sebagai panduan kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri, di mana ibu bapa dapat
mengetahui kemajuan dan kebolehan anak mereka manakala murid pula dapat
mengatahui potensi masing-masing. Antara jenis-jenis rekod murid ialah rekod
pendaftaran, rekod kutipan yuran, jadual kedatangan, rekod prestasi, rekod
profil, buku kemajuan murid .
Kehadiran pelajar direkodkan
di dalam buku daftar kehadiran. Catatan boleh dilakukan sama ada sekali sehari,
pagi dan petang ataupun pada setiap pelajaran. Tunggu seketika sebelum
merekodkan kehadiran pelajar supaya pembetulan dapat dilakukan apabila ada
pelajar yang datang lewat. Kadangkala rekod kehadiran pelajar diambil kira bagi
penganugerahan sijil kelayakan. Jadi, rekod kehadiran juga merupakan salah satu
rekod yang penting untuk dilakukan secara tepat dan betul.
Manakala dalam buku Rekod
Mengajar guru haruslah mempunyai perkara-perkara seperti Salinan Jadual Waktu
Persendirian, termasuk analisis mata pelajarannya. Selain itu, terdapat juga
Salinan Sukatan Pelajaran bagi mata pelajarannya yang diajarnya. Salinan kertas
soalan peperiksaan dan keputusan peperiksaan, termasuk ujian bulanan bagi
tiap-tiap kelas yang diajarnya turut dimuatkan selain perancangan pengajaran
mengikut tahunan, mingguan dan harian. Buku Rekod Mengajar mesti diisi mengikut
perancangan pengajaran harian sebelum masuk ke dalam kelas.
2. Kesediaan Murid Belajar
Kesediaan murid belajar
merupakan keadaan dalam individu yang bersedia dan berupaya untuk mempelajari
sesuatu dengan tujuan memperolehi pengalaman pembelajaran yang baru. Jenis
kesediaan pelajar terbahagi kepada 3 iaitu afektif, kognitif dan psikomotor :
1. Kognitif -
merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan
memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman
sedia ada seseorang. Contohnya, ketika kita membaca bahan dalam bab ini dan
cuba memahaminya, kita sedang menekankan aspek kognitif.
2. Afektif -
merujuk kepada sikap, keinginan, minat dan ketekunan seseorang individu untuk
menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Apabila pelajar mempunyai
kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif
dan mudah untuk menerima pembelajaran.
3. Psikomotor -
merujuk kepada kesediaan fizikal pelajar untuk menjalani latihan yang
menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Sebagai contoh, sumber
pengajaran dan pembelajaran yang bergerak hendaklah mengandungi gambar yang
besar dan menarik serta huruf-huruf besar saiznya. Hal ini demikian kerana akan
memudahkan penglihatan murid.
Merujuk kepada potensi atau
kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru
seperti kesediaan psikomotor, kesediaan afektif, kesediaan kognitif dan jenis
kesediaan belajar. Strategi kesediaan belajar seperti gunakan set induksi yang
menarik, rancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kebolehan dan
pengetahuan sedia ada, Peringkatkan isi pelajaran mengikut tahap kesediaan
belajar murid (mudah ke kompleks), gunakan pelbagai stimulus dalam mengekalkan
minat murid dan banyak lagi.
3. Memotivasikan Murid
Motivasi merupakan
rangsangan yang membangkitkan minat seseorang individu ke arah mencapai sesuatu
matlamat tertentu. Tingkah laku yang berpusatkan pada sesuatu perkara, dan
mampu menghasilkan kepuasan secara berulang-ulang. Naluri ingin tahu
mencetuskan tingkah laku seperti ingin mencuba, menjelajah, mencipta dan mereka
bentuk. Dari segi desakan melibatkan tindakan disebabkan oleh keperluan
fisiologi, keperluan melibatkan keinginan memenuhi kekurangan fisiologi
dan psikologi. Sikap pula dibentuk daripada kefahaman, perasaan dan
tindakan, harapan iaitu ramalan subjektif selaras dengan kognitif, aspirasi
iaitu penilaian yang subjektif terhadap tugas yang dilaksanakan.
Para guru boleh meningkatkan
motivasi kepada pelajar melalui menyediakan persekitaran pengajaran dan
pembelajaran yang mampu memberangsang pelajar untuk menjadi lebih baik. Sebagai
contoh persekitaran yang baik ialah menyediakan suasana bilik darjah yang
kondusif untuk pelajarnya, menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik
yang perlu dicapai dan memastikan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti
pembelajaran di dalam atau di luar kelas.
PENUTUP
Pengurusan murid merupakan
satu bidang yang penting di sekolah. Ini kerana, pengurusan murid di sekolah
adalah cermin prestasi sekolah itu sendiri.Pengurusan murid juga memperlihatkan
bahawa perancangan dan pengurusan yang baik dan sistematik akan mewujudkan
suasana pembelajaran yang baik dan sempurna. Di samping itu, pengurusan murid
juga dapat membina budaya yang baik di antara guru dan murid. Seterusnya,
pengurusan murid juga meningkatkan motivasi murid khususnya untuk terus belajar
bersungguh-sungguh dan dapat ke menara gading. Oleh itu, pelbagai pihak perlu
berganding bahu dalam melaksanakan pengurusan murid dengan sempurna dan dapat
melahirkan murid yang pelbagai aspek termasuk nilai-nilai murni dalam diri
mereka.
RUJUKAN
www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/BukuKoleksi/2012/SN/12.%20%20NGU%20MEE%20KOK.pdf
Ulasan
Catat Ulasan